Saya, Rafizah Binti Hamzah, dilahirkan pada bulan Januari, 1975. Mempunyai sebuah keluarga yang sederhana. Dikurniakan empat orang cahaya mata, dua orang lelaki Muhammad Aminul Arif, 12 tahun, Muhammad Wan Ariffin 10 tahun dan dua orang perempuan Aisyah Maisara 4 tahun dan Aireen Qaisara 10 bulan. Sehingga ketika ini, saya ingin mencari ruang dan peluang perniagaan samaada secara online atau offline.
Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat membuat perabut dan syarikat jurukur tanah. Saya berhenti kerja setelah mendapat anak pertama. Saya menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya isi waktu terluang dengan mempelajari jahitan yang mudah-mudah. Berpandukan buku jahitan saya beranikan diri menjahit beberapa helai baju kurung, baju kebaya dan baju melayu. Setelah mendapat anak ke dua, kami sekeluarga berpindah rumah. Di tempat baru, saya beranikan diri membuka kelas tuisyen dan mengambil tempahan menjahit baju dan langsir. Dengan dua kerjaya tersebut saya dapat sedikit membantu suami yang pada ketika itu pendapatan tidak menentu. Setelah mendapat anak ke tiga, saya ditawarkan bekerja sebagai guru tadika. Saya bernasib baik kerana sekolah tersebut berdekatan dengan rumah dan saya dibenarkan membawa anak ke sekolah. Sekali lagi Allah memberi saya rezeki iaitu seorang lagi cahaya mata dan sehingga sekarang saya masih bekerja sebagai guru tadika.
Walaupun mengajar dan menjahit adalah minat dan hobi saya masa kini, namun secara tidak langsung minat dan kemahiran yang saya ada itulah cita-cita dan impian saya semasa kecil. Boleh dikatakan impian saya telah menjadi kenyataan walaupun tidak sebesar mana. Suami pula amat memberi galakan. Beliau telah menyediakan tempat untuk saya mengajar lengkap dengan papan tulis, meja, kerusi bahkan kipas syiling juga turut dipasang diruang saya mengajar. Suami juga turut membelikan mesin jahit sebagai keperluan untuk saya menjahit.
Membaca juga adalah salah satu hobi masa lapang saya. Buku bercorak motivasi, kaunserling dan kekeluargaan adalah bahan bacaan utama pilihan saya disamping buku jahitan dan masakan. Beberapa buah buku terbitan karya bestari, alaf 21, PTS, Telaga Biru dan beberapa terbitan lagi menjadi bahan bacaan pilihan saya.
Matlamat jangka masa pendek ialah saya berharap agar dapat menimba seberapa banyak ilmu, pengalaman dan maklumat sebelum membuka perniagaan. Selain itu, saya dapat menambah rakan dan kenalan samaada online atau offline.Matlamat jangka panjang pula, dapat membuka perniagaan secara online atau offline menggunakan produk sendiri. Selain itu harapan saya agar dapat membawa seramai mungkin wanita di luar sana untuk sama-sama menjana pendapatan.
No comments:
Post a Comment